Keperluan jangka pendek Petronas_dan_subsidi_minyak

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyatakan keuntungan Petronas tidak boleh digunakan secara habis-habisan untuk keperluan jangka pendek. Sebaliknya keuntungan Petronas perlu dilabur semula untuk kepentingan jangka panjang, terus berkembangan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Syarikat minyak nasional di China, India dan Russia telah mula mengembangkan operasi mereka ke pasaran lain dan Petronas turut mengembangkan pasaran dan sumber ke seluruh dunia.

Rezab minyak negara terhad, tidak seperti di sesetengah negara seperti Nigeria dan Indonesia yang merupakan negara pengeluar minyak yang besar dan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Malaysia akan menjadi pengimport bersih minyak menjelang 2011 atau 2012. Ketika itu nanti, Malaysia tidak mampu lagi mengeksport petroleum seperti sekarang. Malaysia akan hanya memproses petroleum dan menjual semula petroleum yang telah diproses.

Jika keuntungan Petronas tidak digunakan secara berhemat, negara tidak akan mempunyai perbelanjaan berulang kerana dana untuk mewujudkan aliran pendapatan itu telah dibelanjakan.

Kerajaan Barisan Nasional tidak akan menggunakan keuntungan Petronas untuk mengurangkan kenaikan harga barang walaupun kerajaan mempunyai dasar membela rakyat. Kerajaan tidak mahu jatuh muflis kerana terlalu banyak berhutang kepada negara asing. Pembangunan negara akan terbantut kerana terpaksa membayar hutang dan faedah kepada IMF, Bank Dunia dan negara asing seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Negara akan 'bergari' dan tidak lagi mempunyai kebebasan dalam pentadbiran negara kerana negara asing akan memantau keseluruhan pentadbiran untuk memastikan hutang mereka dibayar mengikut pelan pembayaran semula. Ketika itu negara akan mengemis semula dan dijajah dari segi ekonomi dan politik.

Kenaikan harga barang sekarang bukan berpunca daripada kerajaan sahaja tetapi kesan kenaikan harga minyak dunia. Sekarangpun Malaysia memberi subsidi RM40 bilion setahun untuk menstabilkan harga barang keperluan . Subsidi seperti ini tidak berlaku di negara-negara lain. [6]